Tuesday, April 22, 2008

My comment on Tan Sri Muhammad Muhd Taib's blog

The following is my comment posted on Tan Sri Muhammad Muhd Taib's blog. I'm not sure whether he'll publish, or reply to it. Hopefully he will.

[To those of you who can't understand Malay, my apologies. I will try and translate the comment to English when I have the time.]

Assalamualaikum Tan Sri,

Sebelum saya menyampaikan isi hati saya, izinkan saya membuat sedikit pengenalan mengenai diri saya. Saya adalah seorang anak muda Melayu yang baru mula bekerja pada tahun 2007. Sebelum itu, saya telah melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Alhamdulillah, segala kos pengajian saya di sana telah ditanggung oleh sebuah GLC melalui biasiswa penuh mereka. Semasa di sana, saya adalah seorang pemimpin pelajar yang giat menganjurkan aktiviti-aktiviti untuk persatuan pelajar-pelajar Malaysia di universiti saya.

Tujuan saya menulis di sini adalah untuk mengupas isi hati Tan Sri berkenaan beberapa isu. Saya adalah seorang yang suka membuat pendirian selepas mendengar hujah-hujah kesemua pihak. Terus terang saya katakan di sini bahawa saya telah mengundi untuk parti pembangkang semasa PRU-12. Undi saya telah berpihak kepada mereka setelah saya mendapati hujah-hujah mereka lebih kukuh daripada hujah-hujah pihak kerajaan.

Berikut adalah soalan-soalan saya:

1. Sejauh manakah orang Melayu perlu memperjuangkan Agenda Melayu? Sebagai anak muda yang dilahirkan pada tahun 1980-an, saya dibesarkan di dalam masyarakat berbilang-kaum. Saya mempunyai ramai kawan dari kaum Cina dan India. Pada pandangan saya, kawan-kawan saya yang berbangsa lain juga adalah rakyat Malaysia yang mempunyai hak yang sama seperti saya. Tetapi, apabila pemimpin-pemimpin Melayu mula bercakap-cakap mengenai Ketuanan Melayu, ia seolah-olah menggambarkan orang Melayu mempunyai hak yang lebih daripada kaum-kaum lain di Malaysia. Saya terkilan kerana kawan-kawan saya dari kaum-kaum yang lain merasakan diri mereka adalah ‘second-class citizen’ di negara sendiri, sedangkan mereka itu mempunyai latarbelakang sosioekonomi yang serupa dengan diri saya. Saya setuju bahawa bahasa, adat, budaya, serta cara hidup orang Melayu perlu dikekalkan selama yang boleh. Namun begitu, orang Melayu juga perlu peka dan sensitif terhadap kaum-kaum yang lain di negara ini. Hak-hak mereka hendaklah dijaga dan bukannya diancam. Saya berasakan Agenda Melayu telah menjadi kurang relevan di dalam senario hari ini berbanding Agenda Malaysia. Malaysia patut dilihat sebagai sebuah negara yang mempunyai berbagai-bagai kaum seperti Melayu, Cina dan India sebagai komponennya, bukannya sebagai sebuah negara Melayu di mana orang Cina dan India adalah ‘pelakon-pelakon tambahannya’.

2. Patutkah kita sebagai orang Melayu korbankan kemajuan negara bagi memastikan kemajuan bagi kaum Melayu? Pada pendapat saya, Malaysia telah hilang kelebihannya di mata pelabur-pelabur dunia akibat perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Negara-negara lain seperti China dan India telah mengalami pembangunan pesat kebelakangan ini, manakala negara seperti Vietnam telah mula menarik modal-modal yang dulunya dilaburkan di Malaysia. Tan Sri mungkin boleh mengatakan bahawa soalan saya tidak relevan sama sekali kerana tiada bukti-bukti kukuh yang mengatakan DEB melemahkan kedudukan Malaysia di mata dunia. Untuk melihat betapa relevannya soalan saya, cubalah Tan Sri lihat berapa banyak perbelanjaan di kementerian Tan Sri yang boleh dikurangkan sekiranya semua projek diberikan kepada pembida-bida yang terbaik? Namun begitu, DEB telah mengikat tangan Tan Sri untuk memberikan kebanyakan projek-projek tersebut kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera, walaupun bidaan mereka bukanlah yang terbaik. Alangkah bagusnya jikalau pengurangan perbelanjaan daripada projek-projek tersebut dapat digunakan untuk membantu semua orang yang susah, tidak kira mereka berbangsa Melayu, Cina atau India? Kita perlu sedar bahawa tidak semua orang Cina dan India itu kaya. Saya berasa sedih apabila anak-anak orang Melayu yang kaya diberi biasiswa kerajaan untuk ke luar negara, dan anak-anak orang Cina dan India yang lebih miskin dan lebih berkelayakan terpaksa melanjutkan pelajaran di universiti-universiti tempatan. Perumpukan modal yang sebegini membuatkan Malaysia terkebelakang berbanding ekonomi-ekonomi yang lain. Saya takut, jikalau kita tidak mengubah perkara-perkara sebegini, Malaysia akan terus terkebelakang buat selama-lamanya.

Itulah dua soalan yang saya ingin ajukan kepada Tan Sri. Saya harap Tan Sri dapat menjawab soalan-soalan tersebut dengan seihlas-ikhlasnya.

Sebelum saya mengakhiri komentar saya ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri kerana berjaya memulakan blog. Dalam zaman internet ini, blog adalah satu media yang amat perlu bagi Tan Sri menyampaikan pesanan-pesanan Tan Sri kepada orang ramai. Di samping itu,Tan Sri dapat berinteraksi dengan orang ramai yang memberi komentar di blog Tan Sri. Tetapi, apabila berhujah, silalah beri peluang kepada pembaca-pembaca untuk membuat komentar. Jangan sampai ruangan untuk membuat komentar ditutup, seperti blog Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Pesanan saya, jikalau Tan Sri benar-benar percaya dengan pegangan-pegangan yang Tan Sri sampaikan di sini, berdebatlah dengan orang-orang yang tidak bersetuju dengan pegangan-pegangan itu di sini. Janganlah lari dari perdebatan, kerana itu menunjukkan kelemahan Tan Sri. Malah itu akan menunjukkan kelemahan hujah-hujah Tan Sri, kerana hujah-hujah yang tidak kukuh akan tenggelam dengan sendirinya.

Sekian, wassalam.